Cebisan Penasihat

*Klik pada gambar untuk membaca cebisan penasihat.

 

PERUTUSAN YAB TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

MENTERI BESAR KELANTAN

Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh.
Bismillahirrahmanirrahim, Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T. , selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Usaha ini bertepatan dengan negeri Kelantan yang sejak sekian lama tersohor sebagai pusat perkembangan Islam serantau sehingga digelar Serambi Mekah. Kelantan sejak zaman berzaman melahirkan ramai tokoh alim ulama’ dan cerdik pandai yang telah berperanan besar dalam memberikan sumbangan terhadap perkembangan ilmu pengetahuan Islam di rantau ini. Saya ingin mengambil kesempatan di sini menyeru semua rakyat negeri Kelantan dan Malaysia khususnya, dan seluruh masyarakat dunia amnya untuk melayari portal ini. Harapan saya agar melalui VMaktabah Tok Guru ini, segala khazanah ilmu pengetahuan milik ulama’ Kelantan dapat dikongsi bersama dengan seluruh masyarakat di segenap pelusuk dunia dan seterusnya menjadi pemudahcara kepada perkembangan ilmu pengetahuan dan dakwah Islam. Dalam pembangunan arus teknologi moden, konsep perpustakaan juga mengalami perubahan mengikut zaman. Justeru itu, langkah ini juga dapat meletakkan Kelantan seiring dengan negeri-negeri lain dalam perkembangan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) seterusnya menyokong program Dasar ICT Negeri Kelantan dan Projek Kerajaan Elektronik. Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan dan usaha yang telah ditunjukkan oleh Pupuk Nilai Murni Berhad dan Incube Technology (M) Sdn Bhd selaku penggerak dan peneraju utama dalam menjayakan projek "VMaktabah Tok Guru" ini. Semoga Allah S.W.T memberkati segala usaha ini, mengiranya sebagai suatu yang dikira ibadah di sisi-Nya dan memberi petunjuk dan kekuatan kepada kita semua. Sekian, wassalam.

“ISLAM DIJUNJUNG, RAJA DISANJUNG, RAKYAT DIPAYUNG”
“MEMBANGUN BERSAMA ISLAM : KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN”
“TAHUN MELAWAT KELANTAN 2012”

DATO’ BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

 

PERUTUSAN YB DATO HAJI MOHD AMAR BIN NIK ABDULLAH

EXCO PEMBANGUNAN ISLAM, PENDIDIKAN & DAKWAH

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya, projek “VMaktabah Tok Guru” ini berjaya disiapkan sepenuhnya. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus dalam usaha membangunkan portal ini dengan jayanya. Projek VMaktabah Tok Guru direalisasikan hasil kerjasama strategik Kerajaan Negeri Kelantan, Pupuk Nilai Murni Berhad dan Incube Technology (M) Sdn Bhd bertujuan untuk mengumpul, memulihara dan menyebarluas khazanah ilmu pengetahuan dan dakwah Islam Kelantan yang pada masa kini disimpan dalam bentuk buku dan teks bercetak. VMaktabah Tok Guru juga didedikasikan khusus untuk ulama’-ulama’ Kelantan yang sejak sekian lama banyak menghasilkan bahan-bahan ilmu dan pengetahuan Islam. Kewujudan VMaktabah Tok Guru juga adalah amat penting bagi merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri Kelantan untuk menjadikan Kelantan sebagai pusat penyebaran, perkembangan dan pembudayaan ilmu dan syiar Islam yang tersohor di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. VMaktabah Tok Guru akan menyediakan akses digital kepada sumber ilmu pengetahuan bagi membolehkan rakyat meneroka maklumat tanpa batasan masa dan lokasi. VMaktabah Tok Guru menekankan kepada pembangunan sumber ilmu pengetahuan Islam yang boleh dicapai, dikongsi dan disebarkan kepada masyarakat, seterusnya menggalakkan perkembangan dan penyebaran ilmu pengetahuan di kalangan masyarakat. Harapan saya semoga para pengunjung dapat mengambil manfaat sepenuhnya daripada maklumat yang dipaparkan dalam laman ini. Akhir kalam, saya mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam melaksanakan projek ini. Sekian, selamat melayari vMaktabah Tok Guru.

“ ISLAM DIJUNJUNG, RAJA DISANJUNG, RAKYAT DIPAYUNG ”
“ MEMBANGUN BERSAMA ISLAM : KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN ”
“ TAHUN MELAWAT KELANTAN 2012 ”

DATO HAJI MOHD AMAR BIN NIK ABDULLAH

 

PERUTUSAN YB HAJI ZULKIFLI BIN MAMAT

TIMBALAN PENGERUSI JAWATANKUASA PERDAGANGAN, PERINDUSTRIAN DAN SUMBER MANUSIA, NEGERI KELANTAN

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya, projek “VMaktabah Tok Guru” berjaya direalisasikan jua akhirnya. Kewujudan VMaktabah Tok Guru ini amat bermakna kerana ia membuka lembaran baru bagi perkembangan ilmu di negara ini menerusi penyediaan akses kepada bahan ilmu pengetahuan Islam secara efisyen, bersepadu dan pada bila-bila masa di mana-mana sahaja. Kaedah penyampaian menjadi agenda utama dalam melestarikan imaginasi generasi sekarang dengan penggunaan teknologi terkini. Segala bentuk bahan ilmu pengetahuan yang ada di Kelantan akan dikumpulkan di satu tempat agar mudah dicapai, itulah VMaktabah Tok Guru. VMaktabah Tok Guru juga merupakan satu usaha kreatif dan inovatif anak – anak muda Kelantan yang telah berani menyahut seruan kerajaan untuk berkreativiti dan memanfaatkan teknologi untuk menghasilkan produk-produk baru dan boleh menjana ekonomi. Usaha ini bertepatan dengan pelancaran Program Pembangunan Industri Kreatif Kelantan oleh kerajaan. VMaktabah Tok Guru merupakan satu manifestasi kerjasama dan dokongan pelbagai pihak terdiri dari agensi kerajaan seperti Yayasan Islam Kelantan, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan Pupuk Nilai Murni dan Incubetech sebagai peneraju utama dalam menjayakan projek ini. Turut menjayakan projek ini adalah para alim ulama’ dan tokoh ilmuan Kelantan yang sudi menyumbangkan hasil karya mereka untuk dimasukkan ke dalam portal ini. Ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus untuk merancang dan menjayakan projek ini. Semoga VMaktabah Tok Guru ini akan menjadikan dunia ilmu hidup di kalangan rakyat Kelantan.

“ISLAM DIJUNJUNG, RAJA DISANJUNG, RAKYAT DIPAYUNG”
“MEMBANGUN BERSAMA ISLAM : KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN”
“TAHUN MELAWAT KELANTAN 2012”

HAJI ZULKIFLI BIN MAMAT