*Klik pada gambar untuk mengetahui serba sedikit tentang latar belakang ulama'.

توان ڬورو حاج نئ
عبدالعزيز نئ مت
TG Hj Nik Abdul
Aziz Nik Mat
توان ڬورو حاج عبدالل
لوبوق تاڤه
TG Hj Abdullah
Lubuk Tapah
توان ڬورو حاج
عبدالرحمن
TG Hj
Abdul Rahman
توك كنالي
حاج محمد. يوسف
Tok Kenali
Hj Muhd Yusuf
توان ڬورو حاج هشيم
ڤاسير تومبوه
TG Hj Hashim
Pasir Tumbuh
توان ڬورو حاج عبدالله
طاهر

TG Hj Abdullah
Tohir
توان ڬورو حاج نئ من
سوڠاي بودور

TG Hj Nik Man
Sg Budur
توك سلهوڠ
حاج. عبدالرحمن

Tok Selehong
Hj Abdul Rahman
توان ڬورو حاج علي
ڤولاو ڤيسڠ

TG Hj Ali
Pulau Pisang
توان ڬورو حاج نئ
عبد الرحمن خاطب

TG Hj Nik
Abd Rahman Khatib
توان ڬورو حاج عبدالعزيز
ڤاسير تومبوه

TG Hj Abd Aziz
Pasir Tumbuh

توان ڬورو حاج نئ عبدالعزيز نئ مت
Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz

 

Dilahirkan di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu pada tahun 1931, Tuan Guru Haji Abdul Aziz telah mempelajari ilmu agama sejak alam kanak-kanak lagi.

Mula-mula beliau belajar dengan ayahnya sendiri, Tuan Guru Haji Nik Mat, juga seorang guru agama dan ulama yang terkenal di kampungnya pada masa itu. Kemudian Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz melanjutkan pula pengajian agamanya di pondok Tuan Guru Haji Abbas di Jertih, Terengganu. Selepas beberapa tahun mendalami ilmu agama dengan Tuan Guru Haji Abbas, beliau berangkat ke India untuk melanjutkan pengajiannya di sana pula. Setelah tamat pengajiannya di India, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz berangkat pula ke Mesir.

Di Mesir beliau memasuki Universiti Al-Azhar di dalam jurusan bahasa Arab. Setelah memperolehi ijazah Sarjana Muda di dalam Pengajian Arab, Tuan Guru Haji Nik Aziz meneruskan lagi pengajiannya di universiti yang sama di dalam jurusan perundangan Islam. Beliau lulus pengajiannya sehingga ke peringkat sarjana iaitu M.A. di bidang perundangan Islam.Setelah dadanya diisi dengan ilmu agama secara mendalam, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz kembali semula ke tanahair.

Di tanahair beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang guru agama di sebuah sekolah agama rakyat di samping mengajar agama di kelas-kelas dewasa pada sebelah malamnya. Beberapa tahun kemudian beliau mengajar pula di Sekolah Arab Maahad Muhammadi Kota Bharu – sebuah sekolah menengah agama aliran Arab yang tertua dan terbesar di negeri Kelantan.

Dalam masa yang sama, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menceburkan dirinya di dalam kegiatan-kegiatan dakwah. Beliau menyampaikan ceramah-ceramah agama di pelbagai tempat khususnya di Masjid Kampung Pulau Melaka – kampung tempat beliau dilahir dan dibesarkan. Dari semasa ke semasa namanya semakin terkenal. Murid-muridnya semakin bertambah ramai. Imejnya sebagai seorang tokoh ulama yang disegani dan dikagumi ramai semakin menonjol. Pengaruhnya semakin meluas. Kewibawaaannya semakin mendapat pengiktirafan umum.

Oleh kerana agama dan politik itu saling kait mengait dan tidak boleh dipisahkan, maka Tuan Guru akhirnya telah menceburkan dirinya di dalam kegiatan politik tanahair. Beliau memilih PAS oleh kerana parti itu memperjuangkan Islam dan bercita-cita untuk menegakkan sebuah pemerintahan Islam di negara ini. Pembabitan beliau di dalam politik tanahair melalui PAS tidaklah pula sampai beliau mengabaikan penglibatannya di bidang dakwah dan pendidikan agama. Mulai tahun 1967 Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz mula menyertai PAS. Dalam tahun yang sama beliau telah dipilih untuk bertanding dalam suatu pilihanraya kecil di Kelantan. Beliau menang di dalam pilihanraya kecil itu.

توان ڬورو حاج عبدالله لوبوق تاڤه
Tuan Guru Hj Abdullah Lubuk Tapah

 

Beliau merupakan antara dua ulama terkenal di negara ini yang mempertahankan institusi pondok tradisional.

Tuan Guru Abdullah terkenal dengan panggilan Tok Guru Haji Lah Lubuk Tapah berusia awal 80-an mewarisi Pondok Lubuk Tapah daripada ayahnya Tuan Guru Abdul Rahman.

توان ڬورو حاج عبدالرحمن
Tuan Guru Haji Abdul Rahman

 

Nama lengkapnya ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Sulaiman. Beliau lebih dikenali dengan panggilan “Ayah Haji”. Beliau dilahirkan di Kg. Kenor, Kuala Krai, Kelantan pada tahun 1923.Pada 5 Julai 1938, Tuan Guru belajar di Pondok Kampung Awah, Paloh Rawa, Machang. Pondok ini ditadbirkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Jalal bin Abdul Raof dan dibantu oleh Haji Hussain bin Abdul Samad. Setelah belajar di Pondok Paloh Rawa, beliau berguru dengan Tuan Guru Haji Ahmad bin Abdul Kadir selama enam bulan sahaja, Tuan Guru Haji Wan Yusuff bin Che’ Tengah selama setahun, kemudian belajar kepada Tuan Guru Haji Mohd. Nor bin Abdullah.

Pada tahun 1949 pula beliau menyambung pengajiannya di Pondok Manabi‘ul Ulum, di Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Di sana beliau menerima pendidikan dari seorang ulama terkenal iaitu Syeikh Uthman bin Jalaluddin al- Kelantani. Selama dua tahun berada di Pondok Manabi`ul Ulum, Bukit Mertajam, beliau mengambil keputusan untuk menyambung pengajian yang lebih tinggi di Mekah.

Pada tahun 1951 ketika Tuan Guru Haji Abdul Rahman berusia 27 tahun beliau telah pergi ke Mekkah dan belajar di Madrasah Dar al- Ulum al- Diniyyah dan di Masjid al- Haram selama tujuh tahun. Guru- gurunya di Mekkah ialah Syeikh Muhammad Daud bin Sulaiman al- Kalantani, Syeikh Abdul Kadir Abdul Muttalib al- Mandili al- Indonesi, Syeikh Muhammad Yasin Isa al- Fadani al- Makki,Pak Da ‘eil al- Fatani, Syeikh Zakaria Bilal, Syeikh Hassan Muhammad al- Masyat, Syeikh Hasan al- Yamani, Sayyid Abbas bin ‘Alawi al- Maliki, Syeikh al-‘Arabi al- Idrisi al- Maghribi, Syeikh Muhammad Amin al- Kutbi dan Syeikh Noor Saif al- Bahri.

Setelah pulang ke Kelantan, maka pada 4 Jun 1958 beliau telah membuka pondoknya di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai dan mengajar di situ sehingga ke akhir hayatnya. Pada l0 Julai 1968, beliau telah menerima Pingat Bakti (P.B) dari Sultan Yahya Petra, Sultan Kelantan.

Semasa hayatnya beliau pernah dilantik menjadi ahli anggota ulama‘ Majlis Ugama Islam Kelantan dan merupakan salah seorang ahli jawatankuasa pengasas penubuhan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan di Nilam Puri pada tahun 1965.

Selain mengajar, beliau juga mempunyai bakat dalam bidang penulisan. Antara hasil tulisan beliau semasa hayat ialah “ Lawatan Ke Timur Tengah ”, “ Jadual Dua Kalimah Syahadah” dan “ Jadual al- Kalam.” Beliau kembali ke Rahmatullah pada hari Ahad tepat pada pukul 8.40 malam, 20 Februari 1988 di hadapan isteri, anak-anak dan keluarganya. Jenazah beliau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pondok Sungai Durian.
 

توك كنالي حاج محمد يوسف
Tok Kenali Haji Muhd Yusuf

 

Tokoh ulamak Kelantan paling masyhur, malah termasuk antara ulamak besar Semenanjung Melayu sezaman dengan Tuan Husein Kedah, Pak Wan Sulaiman (Syeikhul Islam Kedah), Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang), Haji Abu Bakar Halaim (Muar), Haji Mat Syafie Losong (Terengganu) dll. Guru pondok yang sangat dihormati, bahkan hingga sekarang pun namanya masih menjadi sebutan dan bualan ramai.

Nama sebenar tokoh pendidik yang dilahirkan di Kg. Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu pada 1287H/1870M ini ialah Haji Mohd. Yusoff Ahmad. Menuntut di Makkah selama 22 tahun (1350H-1327H). Sangat alim dalam ilmu tatabahasa Arab (nahu/soraf), malahan beliaulah yang merintis kemasukan mata pelajaran ini kedalam kurikulum pengajian pondok (sebelum itu tertumpu kepada usuluddin, fiqh dan tasawwuf sahaja).

Walaupun Tok Kenali tidak meninggalkan karya tulis yang besar seperti Tuan Padang, Tuan Tabal dan Tuk Wan Ali Kutan, namun beliau berjaya melahirkan satu angkatan ulama pelapis paling berwibawa – bukan saja di negeri Kelantan, tetapi juga di luar Kelantan.

Antara murid-murid jempolannya termasuklah: Hj. Mat Jebeng (kemanakannya), Hj. Che Mat Padang Mengkali, Lebai Deraman Pasir Mas, Hj. Seman Sering (Syeikh Osman Jalaluddin al-Kalantani), Hj, Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Abdul Kadir Melor, Hj, Abdullah Tahir Bunut Payung. Hj. Yusof Padang Bemban, Hj. Awang Lambor, Dato’ Hj. Ahmad Maher al-Azhari, Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Abdul Majid Kayu Rendang, Hj. Mat Pauh, Hj. Awang Serendah, Hj. Daud Bukit Abal, Hj. Awang Beta, Hj. Hamzah Padang Bemban, Hj. Ismail Perol, Dato’ Hj. Ismail Yusoff, Hj. Abdul Rahman Lubuk Tapah, Hj. Hasbullah Bot dan Hj. Nor Bot. Manakala dari luar Kelantan pula tersenarai nama-nama seperti Hj. Wan Abdul Latiff Jerteh, Hj. Zainal Abidin Dungun, Dato Hj. Hassan Yunus al-Zahari (Menteri Besar Johor), Dato Hj. Abdul Rahim Yunus, (Mufti Kerajaan Johor), Hj. Abdul Wahid Osman Sungai Udang, Hj. Ibrahim Bongek Rembau, Syeikh Mohd. Idris al-Marbawi al-Azhari Kuala Kangsar, Hj. Osman Bukit Besar, Hj. Abdullah Abbas Nasution Jitra, Hj. Bahauddin Sumatera Jeneri, Hj. Hasan Lampung, Hj. Yaakub Legor dan Tok Lata (Patani).Di samping itu dua orang putera Tok Kenali sendiri – Tuan Guru Hj. Ahmad dan Syeikh Mohd. Sale Kenali (menetap di Makkah) – juga tergolong ulama dan pendakwah yang berjasa besar.

Nyatalah rumusan yang menyebut Kelantan sebagai “Serambi Mekah” itu sangat berkait dengan kehebatan dan kemasyhuran nama Tok Kenali.Tok Kenali kembali ke rahmatullah di kediamannya pada pukul 7.30 pagi Ahad 2 Syaaban 1352 bertepatan 19 November 1933 dan dikebumikan di Kubang Kerian.

توان ڬورو حاج هشيم ڤاسير تومبوه
Tuan Guru Hj Hashim Pasir Tumbuh

 

Tuan Guru Haji Hashim bin Haji Abu Bakar lahir di Seberang Pantai Johor, Alor Setar, Kedah Darul Aman pada tahun 1923. Ayahanda beliau berasal dari Fathani Darus Salam, berhijrah ke Kedah Darul Aman dan berkahwin dengan anak tempatan.

Pada tahun 1935, ketika berusia 12 tahun, beliau dihantar oleh keluarga beliau untuk belajar di Darul Ulum, Makkah al-Mukarramah. Beliau belajar di Makkah sehingga tahun 1939. Selain belajar di Darul Ulum, beliau juga mengambil peluang belajar di Masjidil Haram, Makkah daripada ulama-ulama terkenal ketika itu. Guru beliau ketika belajar di Makkah, antaranya, Syeikh Yasin al-Fadani, Syeikh Hasan Masyath, Syeikh ‘Abdul Qadir al-Mandili dan lain-lain.

Sekembalinya dari Makkah pada tahun 1939, beliau menyambung pengajiannya di pondok Tuan Guru Haji Ghazali, Batu 26, Bagan Datoh, Perak Darul Ridhwan atau di kenali dengan Madrasah Irsyadiah. Namun beliau tidak sempat belajar lama disana kerana kehadiran tentera Jepun ke Tanah Melayu pada tahun 1941. Beliau kembali ke Kedah. Seterusnya beliau belajar pula di pondok Tuan Guru Haji ‘Abdul Rahman bin Haji ‘Abdullah di Merbok, Kedah atau di kenali dengan nama Madrasah Sa’adah ad-Darain, pada tahun 1942. Kemudian pada tahun 1944 beliau belajar di Pondok Lebai Idris, Kampung Air Hitam, Jitra, Kedah selama 2 tahun.

Beliau seterusnya menyambung pengajiannya di pondok Bunut Payong. Pondok ini diasaskan oleh Tuan Guru Haji ‘Abdullah Thahir bin Haji Ahmad pada tahun 1931 dan merupakan diantara pondok terbesar di Kelantan dan melahirkan ramai tokoh ulama. Pengasas pondok ini adalah merupakan murid kepada Tok Kenali. Ketika di pondok inilah beliau belajar dengan 2 orang guru yang kemudian muncul sebagai ulama besar dan pengasas kepada pondok terbesar di Kelantan, iaitu Tuan Guru Haji Musthafa bin Haji Abu Bakar dan adik beliau, Tuan Guru Haji ‘Abdul ‘Aziz bin Haji Abu Bakar.Pada tahun 1953, Tuan Guru Haji Hashim berkahwin dengan adik Tuan Guru Haji Mustafa dan Tuan Guru Haji ‘Abdul ‘Aziz bin Abu Bakar. Tuan Guru Haji Hashim mengambil alih kepimpinan menerajui pondok Pasir Tumboh pada tahun 1987 iaitu setelah kewafatan Tuan Guru Haji ‘Abdul ‘Aziz bin Haji Abu Bakar yang meninggal dunia pada 17 Jun 1987/20 Syawwal 1407.

Di bawah kepimpinan Tuan Guru Haji Hashim, Pondok Pasir Tumboh mengalami pembangunan fizikal yang selari dengan arus kemodenan, namun tetap mengekalkan pengajian secara tradisional. Oleh kerana sumbangan yang besar Tuan Guru Haji Hashim dalam memartabatkan institusi pondok dan melahirkan ramai ulama pelapis, beliau telah dianugerahkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah 1428H peringkat negeri Kelantan Darul Na’im. Dan pada Mac, 2010, beliau dianugerahkan gelaran Ahli Yang Kehormat Yang Kedua Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.J.M.K.) yang mebawa gelaran Dato’ Paduka, oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra (kini menjadi sultan Kelantan Darul Na’im dengan gelaran Sultan Muhammad V).Selasa, 1 Syawwal 1432H, Tuan Guru Haji Hashim telah menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah lebih kurang 2 tahun terlantar sakit. Ribuan yang datang menziarahinya dan menyembahyangkan jenazah beliau dengan diimamkan oleh YAB Menteri Besar Kelantan. Turut serta menyembahyang beliau adalah Sultan Kelantan Darul Naim, Sultan Muhammad V dan Tengku Mahkota Kelantan Darul Naim.

توان ڬورو حاج عبدالله طاهر بونوت ڤايوڠ
Tuan Guru Hj Abdullah Tohir Bunut Payung

 

Beliau adalah seorang ulama negeri Kelantan yang masyhur alim dalam ilmu fiqh. Pendiri Pondok Bunut Payong yang terkenal ke seluruh semenanjung. Seangkatan dengan Haji Ali Pulau Pisang, Haji Yaakub Lorong Gajah Mati, Haji Saad Kangkong, Haji Ahmad Batu Tiga Repek, Haji saleh Pedada dan lain-lain. Dilahirkan di Kampung Sireh, Kota Bharu pada 20 Muharram 1315 bersamaan 20 Jun 1897.

Bapanya, Haji Ahmad bin Mohd Zain yang berasal dari Kampung Chepa, Kedai Lalat pernah berkhidmat sebagai Imam Tua di Masjid Langgar, Kota Bharu (berkhidmat sehingga 1920).Sesudah berguru selama 15 tahun dengan Tok Kenali, beliau belayar ke tanah suci Makkah mendalami pengajiannya. Antara lain mengikut kuliah Tuan Mokhtar Bogor, Syeikh Said al-Yamani, Syeikh Mohd Ali al-Maliki, dan beberapa tokoh yang lain lagi. Sekembali ke Kelantan, beliau diminta menyertai kumpulan tenaga pengajar Halaqat Kitab di Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

Bagaimanapun khidmatnya tidak lama kerana pada tahun 1931, beliau memulakan kegiatan keguruannya sendiri di Bunut Payong yang diberi nama Madrasah Ahmadiah. Madrasah ini kemungkinan terkenal ke seluruh pelosok Semenajung Melayu sebagai pusat pengajian pondok yang berprestasi tinggi di Kelantan.Di pondok Bunut Payong inilah Tuan Guru Haji Abdullah Tahir mengajar kitab hingga ke akhir hayatnya. Beliau terkenal sebagai seorang tok guru yang tekun mengajar serta mengamalkan disiplin diri yang keras lagi tegas.

Kerana kegigihannya yang sedemikian maka tidak peliklah jika pondok Bunut Payong berjaya melahirkan ramai murid berilmu tinggi seperti Haji Husain Rahimi, Haji Nik Man Sungai Budor, Haji Abd Aziz Pasir Tumboh, Haji Ismail Padang Lepai, Haji Abdullah Kok Lanas, Haji Omar Kubang Bemban, Haji Abdul Rahman Slow Machang, Haji Wook Lubok Chekok, Haji Noor Teliar, Haji Sulaiman Siram, Haji Daud Bukit Bunga, Haji Yaakub Kelong, Haji Ghazali Pulai Chondong, Haji Zakaria Selising, Haji Osman Perlis, Haji Ahmad Kodiang, Haji Yahya Joned Gurun, Haji Ibrahim Bongek, Haji Abdul Wahid Sungai Udang, Haji Husain Umbai, Haji Ahmad Relai, Haji Hassanuddin Berhala Gantang, Haji Ismail Phuket, Haji Ghazali Mundok.

Kerana ketokohannya juga beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan beberapa penggal (seawal 1932). Kematian Fuqaha’ ini pada pukul 7.20 pagi Selasa 4 Rabiul Awal 1381 bersamaan 15 Ogos 1961 menyebabkan negeri Kelantan kehilangan seorang tokoh ilmuwan yang menerangi budaya ilmu dan dakwah Islamiayah.

 

توان ڬورو حاج نئ من سوڠاي بودور
Tuan Guru Hj Nik Man Sungai Budur

 

Nama penuh beliau ialah Nik Abdul Rahman Nik Kub. Beliau telah dilahirkan pada tahun 1910 di Kampung Sungai Budor, Kota Bharu, Kelantan. Pada 22 Oktober 1910, satu perjanjian telah ditandatangani di antara kerajaan Negeri Kelantan dan Inggeris, yang mana sejak tarikh itu negeri Kelantan terletak di bawah naungan Inggeris.

Dengan kelahiran anak yang cantik rupa parasnya itu, bapanya berharap supaya anak beliau menjadi tokoh ulama’ yang berpelajaran tinggi lagi berjasa. Beliau telah dihantar belajar di Sekolah Melayu Majlis Ugama Islam. Sekolah ini telah banyak melahirkan tokoh-tokoh tanah air yang berjasa. Antara gurunya ialah Haji Yaakub Haji Ahmad. Setelah itu, beliau belajar kitab-kitab ugama dengan guru-guru yang penting seperti Tok Kenali, Haji Ali Pulau Pisang, Haji Abdullah Tahir, Haji Yaakub Legor dan lain-lain yang kesemuanya antara mereka mengajar di Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

Selain belajar di masjid Muhammadi, beliau turut belajar di Makkah. Pada tahun 1933, ketika berusia 23 tahun beliau telah bertolak ke Makkah untuk meneruskan lagi pelajaran. Di sana beliau belajar dengan guru-guru yang masyhur seperti Syeikh Muhammad Arabi, Syeikh Syed Alawi, Haji Nik Abdullah bin Haji Wan Musa dan ramai lagi. Beliau pernah menjadi guru di Makkah Mukarramah.

Tidak berapa lama kemudian, beliau pulang ke tanah air dan pada tahun 1939 beliau menjadi qadhi Mahkamah Syariah Kota Bharu. Beliau turut dilantik menjadi khatib Masjid Muhammadi pada 1942 dan diangkat menjadi imam muda pada tahun 1943-1945. Beliau pernah bersama-sama Tuan Guru Haji Abdullah Tahir di dalam pertubuhan Jabhat al-Ulama’ dan pernah menjadi Pengerusi Persatuan Imam Negeri Kelantan. Beliau meninggal dunia pada 23 februari 1960.

 

توك سلهوڠ - حاج عبدالرحمن بن حاج عثمان
Tok Selehong - Hj Abdul Rahman bin Haji Osman

 

Tokoh guru pondok paling terkemuka di Jajahan Tumpat selepas zaman Haji Abdul Malek Sungai Pinang. Seangkatan dengan Tok Kenali, Tok Padang Jelapang, Tok Bachok, Tok Seridik dan Tok Kemuning.

Nama sebenarnya ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Osman. Kadang-kadang dipanggil juga dengan nama Haji Abdul Rahman Syair atau Tok Syair kerana kepandaiannya mengarang syair.Seorang daripada guru awalnya tentulah Haji Abdul Malek Sungai Pinang yang berdekatan dengan kampungnya. Kemudian menyambung belajar di pondok Cha-ok, Patani berguru dengan Tok Cha-ok @ Haji Abdullah bin Mohd Akib.

Akhir sekali pergi mendalami pengajian di Kota Makkah – berguru denagn Pak Chik Wan Daud Patani, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Shafie Kedah dan ramai lagi.

Selepas 18 tahun bermukim di tanah suci Makkah, pulang ke tanah air (1921) lalu mengasas pusat pengajian pondok sendiri di pinggir Sungai Selehong. Di pondok inilah beliau mengajar dan mengembang pondoknya yang sangat dikenali ramai pada zaman itu. Bidang ilmu yang sangat ditumpukan ialah ihsanuddin atau tasawuf dengan Syarh Hikam Ibn Ata’ Allah sebagai teks utama.Tok Guru Selehong masyhur sebagai ahli sufi yang zahid.

Bagi tujuan supaya hatinya tidak terlambat kepada dunia, beliau menggali sebuah lubang khas dalam kawasan tanah perkuburan Islam berhampiran Pondok Selehong yang dijadikan semacam kamar khusus tempat beliau beribadat dan bersuluk. Hobi tok guru yang pandai bersilat ini pun agak aneh. Beliau bukan sahaja sering keluar memikat ikan dan berburu rusa, malahan meminati haiwan yang cantik-cantik seperti kuda, biri-biri jantan, ayam jantan taklung, persis orang pelihara ayam serama zaman ini.

Bapa mertua kepada Tuan Guru Haji Ahmad Bar Tiga Repek dan Haji Awang Beta ini kembali ke rahmatullah pada jam 8.30 pagi malam khamis 18 Zulkaedah 1353 bersamaan 20 Februari 1935 dan kemubikan di Kubur Selehong, Tumpat.

Kegiatan dakwah Islamiyahnya diteruskan oleh murid-muridnya hingga ke hari ini. Antara yang masyhur termasuklah Pak Chu Che Abbas Kelong, Haji Yaakub Kelong, Haji Pak Man Berangan, haji Che Mamat Kok Keli, Haji Awang Lambor, Haji Yaakub Wakar Bharu, Haji Abdul Rahman dalam Pator, Haji Abdul Rahman Tendong, Haji Abdul Rahman Pohon Tanjong, Haji Abdullah Tal Tujuh, Haji Che Mar Padang Upeh, Haji Abdul Aziz Kampung Tujuh, Haji Mat Bola Getting, Haji Saleh Pedada Bunohan, Pak Su Wil Kampung Dangar, Haji Abdul Kadir Gaal, YB Haji Muhammad Batu Hitam dan Haji Wan Abdul Latif Jerteh (Terengganu).

 

توان ڬورو حاج علي ڤولاو ڤيسڠ
Tuan Guru Hj Ali Pulau Pisang

 

Salah seorang guru pondok di pertengahan abad ke-20 yang paling ternama di Kelantan. Beliau juga merupakan harapan Tok Kenali terkanan yang mewarisi ilmu tatabahasa Arabnya.

Seangkatan dengan Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong, Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Saad Kangkong, Hj. Awang Lambor dan Hj. Awang Serendah. Rakan akrab Ayah Chik @ Lebai Omar Kubang Tuman. Nama penuh tokoh ulama’ kelahiran mukim Pulau Pisang, daerah Badang, Kota Bharu ini ialah Hj. Mohd Ali Solahuddin bin Awang. Ibunya bernama Wan Kalsom. Beliau adalah anak ketiga daripada 9 beradik. Selain Tok Kenali, guru-guru tempatannya termasuklah Hj. Abdul Malek Sg. Pinang, Hj. Yusof Sg. Pinang (kemudian lebih dikenali dengan nama Tok Pulau Ubi), Tok Kemuning (di Pulau Kundor), Hj. Omar Sg. Keladi, Pak Chik Musa, Hj. Yaakob Legor dan Hj. Ahmad Hafiz. Namanya “timbul” kerana kealimannya dalam ilmu soraf (cabang tatabahasa Arab) sehingga digelar “Tok Sibaweh”.Tidak hairanlah jika Madrasah al-Falah (nama rasmi Pondok Pulau Pisang) yang dibangunkan beliau di Telok Chekering, Pulau Pisang senang menjadi tarikan para pelajar pondok.

Sementelahan pula seawal 1932 lagi, Hj. Ali dipilih menganggotai Jemaah Ulama’ MAIK yang dipengerusikan oleh Dato’ Hj. Ahmad Maher al-Azhari (Mufti Kerajaan Kelantan). Berikutan dengan kematian Hj. Saad Kangkong (1943) beliau dipinjam sebagai guru agama Kelas Khas di Jami’ Merbau al- Ismaili (pusat pengajian ilmu-ilmu Islam berbentuk sekolah pertama di Kelantan) yang menampung ramai pelajar dari dalam dan luar Kelantan pada awal dekad 1940-an, berkhidmat sehingga 1 Mac 1946.

Selepas itu kembali semula ke Masjid Muhammadi. Antara murid-muridnya ialah Dato’ Hj. Ismail Yusoff (Mufti Kerajaan Kelantan), Ustaz Dato’ Yusoff Zaky Yaakob (pengarang terkemuka dan penterjemah Tafsir fi-Zilal al-Quran), Ustaz Hj. Ismail Yusoff (imam Masjid Muhammadi), Ustaz Wan Mohd Saghir Wan Konok Pasir Pekan, Ustaz Azhari Abdul Rahman Melor, Hj. Abdul Aziz dan Hj. Mustafa Pasir Tumbuh, Hj. Zakaria Selising, Hj. Daud Getting, Hj. Daud Perakap, Hj. Nik Daud Tanah Merah, Hj. Wan Abdul Latif Jerteh, Hj. Abdul Wahid Sg. Udang (Melaka), Hj. Abdul Rasyid Bagan Datok Perak dan Hj,. Abdullah Abbas Nasution Tanjung Pauh (Kedah).

Ulama’ kesayangan Dato’ Mufti Hj. Ahmad Maher ini kembali ke rahmatullah di kediamannya di Kg. Limau Putenge, Pulau Pisang pada pukul 7.05 pagi Khamis-11 Rejab 1388 bersamaan 3 Oktober 1968 dengan meninggalkan dua buah karya bercetak yang mengupas tentang ilmu Soraf dan terjemahan Surah Yassin.

 

توان ڬورو حاج نئ عبدالرحمن خاطب
Tuan Guru Hj Nik Abdul Rahman Khatib

 

Haji Nik Abd. Rahman Khatib ialah adik beradik Tuan Guru

Haji Nik Abdul Aziz.

توان ڬورو حاج عبدالعزيز ڤاسير تومبوه
Tuan Guru Hj Abdul Aziz Pasir Tumbuh

 

Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Aziz Pengasas Pondok Pasir Tumboh.